The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Mengucapkan Selamat Tinggal Kepada Pemain Sayap Utama, Alvin Fortes

Jun 27, 2026 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan perpisahan bersama pemain sayap, Alvin Fortes, selepas dua musim bersama Gergasi Merah.

Fortes yang diumumkan sebagai pemain baharu pada 4 Februari 2024, terus membuktikan dirinya sebagai antara pemain serangan paling menyerlah dalam pasukan, dikenali dengan kaki kiri yang manis, kepantasan, keberanian dan ancaman berterusan di bahagian sayap. Sebagai antara nadi serangan di bahagian sayap, beliau sentiasa membawa keceriaan kepada penyokong menerusi jaringan, bantuan gol serta aksi menyerang yang sentiasa mencuri perhatian. Sepanjang bersama Selangor FC, beliau mencatat 79 penampilan dengan 5,085 minit permainan, selain menyumbang 33 gol dan 17 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.

Musim debutnya bersama kelab amat mengagumkan apabila merekodkan 20 gol dan tujuh bantuan jaringan, pencapaian yang membantu beliau meraih anugerah ‘Best Signing’ dan ‘Player of the Season’ dalam SFC Fans’ Choice Awards 2024/25. Sejak awal, beliau menjadi antara pilihan utama dalam jentera serangan serta salah satu sumber gol dan kreativiti paling konsisten pasukan.

Beliau turut mencipta rekod tersendiri dalam musim 2024/25 apabila menjadi satu-satunya pemain dalam skuad yang menjaringkan gol dalam kesemua lima kejohanan utama iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan AFC Champions League Two, sekali gus membuktikan tahap konsisten serta impaknya di pelbagai pentas.

Selain pencapaian individu, sumbangan beliau turut memainkan peranan penting dalam kebangkitan Selangor FC apabila pasukan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua dua musim berturut-turut, sekaligus melayakkan kelab ke kejohanan Asia seperti AFC Champions League Two (2024/25 - 2025/26) dan ACC Shopee Cup 2025/26. Dalam masa yang sama, beliau turut membantu Selangor FC mara ke pentas akhir Piala FA serta memainkan peranan dalam kejayaan menjuarai MFL Challenge Cup.

Antara detik paling diingati sepanjang menyarung jersi Merah Kuning adalah ketika beliau menjaringkan dua gol menentang Perak FC pada Disember 2024, membantu pasukan membawa pulang tiga mata dari Ipoh. Beliau juga pernah mempamerkan aksi individu berkualiti tinggi menentang Terengganu FC dengan larian pantas serta rembatan kaki kiri yang menjadi ‘trademark’ dirinya. Lebih terkini, Fortes mencipta momen magis menentang Penang FC apabila masuk sebagai pemain gantian dan menyempurnakan sepakan percuma melengkung yang menakjubkan, sekali lagi menegaskan sentuhan ‘trademark’ beliau yang dikenali ramai.

Di pentas antarabangsa, Fortes kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Cape Verde pada tahun 2025 untuk beberapa perlawanan persahabatan, sekali gus menandakan kepulangannya ke peringkat antarabangsa selepas kali terakhir pada 2018. Prestasinya bersama Selangor FC menjadi antara faktor utama yang membuka semula pintu ke skuad kebangsaan.

Fortes akan dikenang sebagai pemain yang sentiasa memberi ancaman di bahagian sayap, membawa keceriaan kepada penyokong dengan jaringan, bantuan gol serta gaya permainan menyerang yang menghiburkan. Aksinya di atas padang menjadikannya antara senjata serangan paling berbahaya Selangor FC sepanjang bersama kelab.

Selangor FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Alvin Fortes atas segala sumbangan beliau dalam jersi Merah Kuning dan mendoakan kejayaan beliau dalam perjalanan karier seterusnya.

Terima kasih, Ella. #ForeverRed

Demi Kebanggaan!